Saturday, December 29, 2007

Kementerian Pendidikan Malaysia

TERAS kesal dengan dasar pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang masih terus berdalih dengan pencapaian peperiksaan yang dianggap sebagai asas sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu diubah atau tidak.

Mengikut pihak Kemenerian, dengan alasan ada petanda keputusan PMR 2007 menunjukkan prestasi pelajar yang semakin baik dalam PPSMI menyebabkan dasar pengantar bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik sepatutnya terus disokong.

Bagi TERAS ini adalah alasan yang menunjukkan pihak Kementerian tidak mahu memberi perhatian kepada persoalan pokok iaitu kenapa bahasa Melayu masih disangsi sebagai bahasa yang boleh dijadi bahasa ilmu dalam mempelajari ilmu Sains dan Matematik serta kenapa kelemahan dalam kaedah pengajaran bahasa tidak mahu diatasi.

Persoalan yang sangat asasi ialah sama ada boleh atau tidak pelajar menguasai ilmu Sains dan Matematik dengan jauh lebih selesa dan berkesan jika diajar dalam bahasa Melayu?
Apakah di peringkat awal apabila pelajar sudah kuat asas kefahamannya terhadap ilmu Sains dan Matematik melalui bahasa yang mereka lebih selesa belajar iaitu bahasa Melayu , akan memudahkan lagi mata pelajaran itu dipelajari apabila meningkat ke peringkat lebih tinggi?
TERAS tetap berpendirian bahawa pihak kerajaan melakukan suatu kesilapan besar untuk meneruskan sistem PPSMI ini.

Dengan menunggu hingga tahun hadapan untuk membuat keputusan sama ada PPSMI akan diteruskan atau tidak, adalah memperjudikan masa pelajar yang amat merugikan.
Untuk menjalankan sesuatu dasar yang dianggap hanya di peringkat percubaan dalam bidang pendidikan adalah suatu tindakan yang sangat merugikan kerana ia melibatkan perbelanjaan dan masa pelajar yang tidak boleh diulangkembalikan lagi.

Persoalan pokok yang nampaknya terus diketepikan oleh pihak Kementerian ialah sejauhmana sistem pengajaran bahasa sepatutnya dipertingkatkan pengajaran dan pembelajarannya.
Sudah kerap ditekankan betapa penguasaan bahasa bukan dengan cara mengajar bahasa dalam pelajaran yang lain tetapi sejauhmana kaedah pengajaran bahasa itu berkesan atau tidak dalam jadual pembelajaran pelajar.

Kami kesal kenapa pihak Kementerian Pelajaran tidak mahu mengaku kelemahan pengajaran bahasa dan memberi tumpuan untuk memperbaikkinya.
Malangnya pihak Kementerian telah mengambil langkah yang sama sekali tidak berkolerasi dengan masalah yang sebenar.

Tiba-tiba pelajar dijadi sebagai bahan ujikaji untuk melalui suatu sistem pengajaran dan pembelajaran yang belum tentu kesannya. Pelajar yang melalui selama 11 tahun dalam sistem PPSMI ini tidak wajar dijadi bahan uji yang tidak menentu apa kesan masa depannya.
Keputusan PMR baru-baru ini yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran dikatakan menunjukkan prestasi Saians dan Matematik yang lebih baik. Akan tetapi beliau tidak memperincikan sejauhmana pelajar-pelajar itu benar-benar menguasai bahasa Inggeris seperti yang didakwa.

Kekhuatiran kami ialah ketika mana data kelulusan Sains dan Matematik dikatakan meningkat namun penguasaan bahasa Inggeris tidak menunjukkan kemajuan dan pencapaian bahasa Melayu pula menurun.

TERAS tetap mengesa agar pihak kerajaan kembali kepada isu pokok iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang sudah cukup terbukti mampu melahirkan ahli sains dan teknokrat yang berwibawa dan ia berkaitan langsung dengan membentuk tamadaun bangsa yang berteraskan bahasa kebangsaan.
Presiden Teras

Labels:

Thursday, December 27, 2007

Kebebasan Akhbar di Malaysia

Memang ada, itulah jawapan yang diberikan oleh Azman Ujang, Pengurus Besar BERNAMA, agensi berita nasional. Beliau berkata demikian dalam majlis forum di RTM1 semalam.

Kebebasan yang dimaksudkan dalam isitlah “kebebasan akhbar” adalah kebebasan untuk menyuarakan sebarang pendapat atau pandangan tanpa sebarang sekatan atau ancaman. Jika kebebasan itu dihalang atau disekat-sekat dengan pelbagai syarat dan peraturan yang memihak kepada satu badan atau agensi atau kerajaan itu sendiri, maka ketika itu tiadalah “Kebebasan akhbar”. Lebih parah lagi apabila sesuatu berita atau maklumat itu diputar-belitkan dengan tujuan mengelirukan pandangan rakyat.

Di Malaysia kita tidak perlukan Pengurus Besar BERNAMA untuk menjelaskan, rakyat semua telah tahu. Saya ambil satu contoh, dalam isu Hindraf. Akhbar-akhbar media perdana semuanya mengeluarkan cabaran pimpinan Umno kepada PAS agar PAS menyatakan sikap dan pendirian berkenaan isu tersebut. Bukan sekadar media cetak, kesemua media elektronik turut memainkan isu cabaran itu. Tetapi apabila Presiden PAS mengeluarkan kenyataan resmi parti berhbung isu tersebut, tidak ada satu akhbar saluran perdana pun yang melaporkannya!

Kita ambil satu contoh lagi, kejadian banjir terbaru yang menimpa beberapa negeri di Semenanjung. Nyatakan kepada saya 1 akhbar saluran perdana yang ada melaporkan darihal bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri Kelantan di Kelantan atau lawatan-lawatan yang dibuat oleh MB ke pusat-pusat penempatan sementara. Yang ada cumalah bantuan dan kunjungan wakil-wakil rakyat pembangkang dari BN. Anehnya di negeri-negeri lain wakil-wakil pembangkang tidak pula mendapat liputan.

Tiba-tiba Azman tanpa segan dan malu boleh mendakwa ke seluruh negara melalui RTM semalam bahawa di Malaysia ada kebebasan akhbar. Penipu!

Itu di media saluran perdana, media milik parti pembangkang pula walaupun zahir tetapi teruk ditekan. Harakah cuma dibenar keluar dua minggu sekali, manakala Suara Keadilan sehingga hari ini tidak diberikan kebenaran. Kebebasan akhbar apakah ini?

Azman juga mendakwa konon wujudnya media alternatif sebagai bukti Malaysia mengamalkan kebebasan akhbar. Harakah dan Suara Keadilan telah saya sebutkan. Lahirnya laman-laman web dan blog berupa berita semasa dan isu-isu politik adalah bukti betapa suara yang berbeza dari kerajaan dikekang dan tidak mendapat tempat dalam akhbar-akhbar tempatan.

Lihat sahajalah apabila tiba musim pilihanraya, betapa akhbar-akhbar saluran perdana terutama akhbar-akhbar berbahasa Melayu akan melacurkan diri untuk mempromosi parti pemerintah tanpa sedikit pun memberi ruang kepada pembangkang, kalau pun ada berita semuanya negatif belaka! Sesungguhnya kita telah pun menerima hakikat begitulah keadaan akhbar tempatan kita, masalahnya Pengurus Besar BERNAMA juga sanggup melacurkan diri berbohong di depan kaca TV menegakkan benang basah kononnya kita kaya dengan kebebasan akhbar, sungguh mengaibkan!

Labels:

Monday, December 10, 2007

Kisah Peguam oh Peguam

Peguam Negara sejak kebelakangan ini begitu sibuk sekali. Sesibuk PM Dollah yang semakin celaru dan kusut, beliau pun menumpang mahu membantu boss nya yang semakin kalut itu. Dari kes Hindraf hinggalah ke kes Tragedi Batu Burok dan hari ini kes lapan orang termasuk lima peguam yang dituduh gagal mematuhi arahan polis agar bersurai, beliau juga pendakwanya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Semasa mula-mula muncul dalam kes Hindraf, para peguam tertuduh membantah kehadiran beliau sebagai pendakwa. Bagi mereka kehadiran beliau yang merupakan pendakwa paling kanan dalam negara mungkin menekan dan menganggu ketenangan hakim untuk membuat keputusan. Salah seorang peguam Hindraf menyebut ketika itu bahawa sepatutnya Peguam Negara memberikan perhatian kepada kes yang lebih penting dan high profile, contohnya kes pembunuhan model Altantuya Shaaribu. Mengapa pula beliau tidak mengetuai sendiri kes bunuh yang kejam dan membabitkan VIP itu!

Di Kuala Terengganu, dalam kes Tragedi Batu Burok Peguam Negara telah membantah ikat jamin ke atas dua orang ahli PAS Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21 sedangkan pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka boleh dibenarkan ikat jamin. Walaubagaimanapun Hakim Mahkamah Sesyen bersetuju dengan Peguam Negara dan akibatnya kedua-dua anak muda tersebut terpaksa disumbat ke dalam penajra sementrara menanti perbicaraan. (Hairan, kedua-dua mereka ini cedera ditembak polis dengan peluruh hidup, tetapi mereka pula yang didakwa)

Dan siang tadi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dalam kes 8 yang berhimpun secara haram sempena Hari Hak Asasi Sedunia, sekali lagi Peguam Negara cuba untuk menafikan hak tertuduh untuk diikat jamin. Kata beliau mereka ini berkemungkinan mengulangi kesalahan mereka (sedangkan mereka belum pun didapati bersalah) dengan melancarkan himpunan yang serupa. Namun Hakim Komathy Suppiah enggan menerima permohonan Peguam Negara itu dan sebaliknya membenarkan kesmua tertuduh diikat jamins sebanyak RM2,000 seorang dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 28 dan 31 Januari 2008.

Mengapakah ada kecenderungan dari Peguam Negara untuk menyumbat mereka yang tertuduh ke dalam penjara sedangkan tuduhan yang dikenakan ke atas mereak semua bukannya tuduhan yang berat dan serius? Saya difahamkan ketika artikel ini ditulis beliau sedang membuat permohonan di Mahkamah KL untuk menolak ikat jamin ke atas Naib Presiden PAS Hj Muhammad Sabu.

Saya pasti lambat ataupun cepat perhatian seluruh dunia akan tertumpu ke Malaysia. Dan pasti aksi gelojoh Peguam Negara ini akan menjadi perhatian, demikianlah keadaan Negara Polis Malaysia dialaf baru ini!

Labels:

Sunday, December 9, 2007

Khairy dan Bola Sepak

Saya saksikan wajah Khairy Jamaluddin Timbalan Presiden FAM bersama-sama Menteri Belia dan Sukan Azalina Othman di Korat, Thailand semalam melalui Buletin Utama TV3.

Pasukan bolasepak kita kecundang lagi di Korat semalam dan terpaksa bungkus pulang dengan tangan kosong setelah gagal ke peringkat separuh akhir. Semalam kita seri dengan Singapura 1-1, sedangkan kita perlukan kemenangan. Ini bermakna Singapura akan mnelangkah masuk ke separuh akhir bersama juara kumpulan Vietnam.

Bukan hanya pasukan bolasepak yang pulang tangan kosong sebenarnya, yang berat memikul bebannya sudah pastilah Khairy sendiri yang mengharapkan pencapaian luar biasa terhadap pasukan kita bagi melonjakkan namanya ke atas, tambahan sejak menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM.

Mungkin kini Khairy sedar tidak mudah mahu menggunakan badan sukan untuk menaikkan nama sendiri. Allahyarham Dato Harun Idris, yang ketika itu Ketua Pemuda Umno mungkin telah berjaya, tetapi pengorbanan dan sumbangan Harun kepada bolasepak negara adalah besar. Pemain-pemain kita menghormati beliau bukan kerana beliau Ketua Pemuda Umno atau MB Selangor, tetapi kerana PR nya yang menyerlah. Dan tidak dapat dinafikan ketika itu pasukan negara kita memang cemerlang.

Khairy kebetulan menang kedua-dua jawatan Naib Ketua Pemuda Umno dan Timbalan Presiden FAM tanpa bertanding. Ramai yang menganggap kemenangan mudah itu kerana beliau menantu PM dan Presiden Umno, entahlah. Tetapi sekarang masanya untuk Khairy buktikan yang beliau memang layak untuk jawatan itu, tetapi kecundangnya pasukan bolasepak kita di Korat nampaknya langsung tak membantu.

Labels:

Saturday, December 1, 2007

Pancing UMNO-BN berumpankan Subsidi Minyak

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menggesa kerajaan supaya tidak menaikkan harga gas, diesel Dan di Malaysia walaupun harga minyak mentah dunia meningkat. Malaysia Yang merupakan negara pengeksport minyak mentah seharusnya tidak terkesan dengan kenaikan harga minyak mentah dunia, malah ianya memberi pulangan yang lebih baik kepada negara.

Keuntungan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), syarikat yang diamanahkan untuk mengusahakan industrial oil negara, meningkat berkali Ganda akibat keuntungan Dari kenaikan harga minyak mentah dunia. Keuntungan sebelum cukai Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007 berjumlah RM76.3 bilion merupakan yang tertinggi dalam sejarah. Hasil keuntungan tersebut, sejumlah RM 48.3 bilion disumbangkan Petronas kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dividen, royalti Dan eksport duti.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2006, keuntungan sebelum cukainya berjumlah RM 70.2 bilion, 21 peratus lebih tinggi berbanding RM 58 bilion pada tahun 2005. Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, sehingga tahun 2006, Petronas telah membayar RM 287 bilion kepada kerajaan.Malangnya, limpahan keuntungan itu tidak digunakan untuk membantu rakyat secara keseluruhannya.

Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menghalusi sistem body sedia ada Dan mensasarkan kepada golongan yang benar - benar layak dipersetujui motifnya, tetapi diragui perlaksanaannya.

Menurut satu laporan di sebuah akhbar tempatan, Abdullah percaya pendekatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam menentukan kadar bayaran menerusi kadar penggunaan adalah lebih adil Dan dapat mencapai sasarannya. AMK meragui CARA perlaksanaan mekanisma tersebut, memandangkan kadar penyelewengan diesel body yang tinggi, walaupun dikawal dengan prosedur yang ketat.

AMK menyarankan supaya kadar body untuk rakyat disamaratakan, tanpa mengira bangsa, kedudukan Dan pangkat. Keadilan harus diberi kepada semua lapisan rakyat, tanpa prejudis. Sekiranya kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Dan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tidak mampu untuk menanggung beban body untuk rakyat, satu mekanisma lain harus difikirkan, seperti mempromosikan penggunaan biodiesel, menaikkan kadar cukai pendapatan, menaikkan kadar cukai import kereta mewah, menaikkan Kadar cukai Jalan bagi kereta mewah Dan cukai - cukai lain yang berkaitan dengan kenderaan mewah yang digunakan di Malaysia.

Abdullah semasa memberi penerangan kepada 5000 pemimpin parti komponen BN mengenai isu - isu semasa telah mengatakan bahawa kerajaan tidak boleh menggunakan keuntungan Petronas bagi membayar body minyak kerana Petronas perlu menggunakan semula keuntungan untuk membuat pelaburan di luar negara. Sekiranya dakwaan Abdullah ini benar, AMK mencabar Abdullah membentangkan penyata akaun Petronas kepada rakyat untuk dinilai. Yang nyata, wang Petronas digunakan untuk membiayai projek - projek mega pemerintah seperti Putrajaya Dan MSC (RM 22 bilion), KLIA (1.8 bilion), Litar Sepang F1 (RM 286 juta), MAS (RM 668 juta) Dan banyak lagi. Namun, bilateral rakyat terbanyak menagih sumbangan Petronas, macam - macam alasan yang digunakan oleh pihak pemerintah.

Kenaikan harga minyak di dalam negara Akan menjadi pemangkin kepada kenaikan harga barangan keperluan harian, sekaligus meningkatkan kadar inflasi di negara ini. Dengan pendapatan yang berada atas sedikit Dari Garis Kemiskinan, kenaikan harga minyak Dan barangan keperluan harian Akan menjejaskan kualiti kehidupan rakyat. Ini Akan mendorong kepada peningkatan jenayah Dan gejala sosial.

AMK menggesa Petronas menunaikan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat, menggesa kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Dan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menurunkan harga minyak pada kadar yang berpatutan Dan munasabah. Yang pasti, sekiranya Barisan Rakyat berjaya memerintah Malaysia, perkara pertama yang Akan dilakukan ialah menurunkan harga minyak.

Hasmuzair Hassan
Exco
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat

Labels: